Hukum Perdagangan Pertukaran
Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui
Platfom Elektronik
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada
13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang
Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom
Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan
penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam
Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang
dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing
(forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui
platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari
sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang
perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay
al-Sarf seperti berikut:
Syarat-syarat umum jual beli:
- Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan
melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud)
- Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh
kedua-dua pihak yang berakad;
- Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya
oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;
- Sighah
akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur
penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan
menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:
- Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua
item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak
yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
- Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani
dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
- Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar
al-Syart.
Selain memenuhi syarat-syarat
tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata
wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf
wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli),
unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.
Berdasarkan kajian terperinci yang telah
dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex)
oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom
elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover
interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage,
qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang
yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu
ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.
Sehubungan itu, Muzakarah
bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex)
oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom
elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak
syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu,
umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang
seumpama ini.
Muzakarah juga menegaskan
bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga
pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus
niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi
kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan